Juruwang lesap RM3,529 akibat ditipu sindiket pinjaman tidak wujud

Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah

Oleh Dean Adam

SRI AMAN, Feb 14: Seorang juruwang wanita terpaksa berputih mata selepas kerugian sebanyak RM3,529 akibat ditipu kes penipuan pinjaman tidak wujud.

Laporan kes melibatkan mangsa berusia 21 tahun itu diterima oleh pihak polis, semalam.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa telah melayari laman sosial Facebook (FB) untuk membuat pinjaman wang sebanyak RM30,000.

Katanya, mangsa kemudian telah mengisi butiran diri sebelum dia telah dihubungi oleh individu menggunakan nombor 0182741882 dan 0182800648

“Mangsa kemudian telah bercakap dengan seorang lelaki nama Steven dan seorang perempuan nama Lina bagi urusan pinjaman tersebut.

“Seterusnya, mangsa dikehendaki membuat pembayaran sebanyak RM3,529 bagi proses pinjaman tersebut kepada akaun bank suspek,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, pada Januari 4 lepas, mangsa telah membuat pembayaran kepada akaun Cimb suspek sebanyak RM1,849.

Mangsa katanya, kemudian telah membuat pembayaran kedua sebanyak RM1,680 kepada suspek.

“Setelah pembayaran dibuat, tiada sebarang wang yang diperoleh oleh mangsa hasil urusan pinjaman tersebut.

“Mangsa mulai sedar telah ditipu setelah panggilan mangsa tidak dijawab oleh suspek,” katanya. — DayakDaily