Jurupam maut, nahas jalan-raya di Kuching

Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.
Advertisement

KUCHING, 21 Julai: Seorang pekerja pam minyak meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas motosikal yang ditungganginya terbabas di Jalan Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Yaakub, di sini hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Haziq Adib Hatta dikatakan baharu genap berusia 19 tahun selepas menyambut hari jadinya pada 18 Julai lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Pengurusan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa yang beralamatkan dari Taman Sri Perkasa, Matang semasa kejadian menunggang motosikal dari arah Satok iaitu sekitar jam 2.40 petang.

Advertisement

Jelas beliau, saksi di tempat kejadian memberitahu mangsa berseorangan menunggang motosikalnya menuju ke arah Matang apabila dilihat hilang kawalan lalu bergesel dengan pembahagi jalan.

“Motosikal mangsa kemudian dilihat terbabas lalu melanggar tiang lampu di sebelah kiri jalan raya tersebut.

“Akibat kemalangan tersebut, motosikal mangsa mengalami kerosakkan di bahagian hadapan dan mamgsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik dari Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat HUS untuk bedah siasat.

Siasatan lanjut di tempat kejadian dijalankan oleh pegawai dan anggota dari JSPT IPD Kuching.

Kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily

Advertisement