Jurukimpal maut dalam nahas di Jalan Betong-Sarikei

Keadaan kereta selepas kemalangan tersebut semalam.

Oleh Juetila Ozzy

SARATOK, 25 Sept: Seorang jurukimpal terbunuh, manakala tiga lagi cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabas lalu terbalik di Kilometer 30, Jalan Betong-Sarikei semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Fikri Mohd Nizam Semail, 24 tahun dan berasal dari Betong.


Katanya, mangsa semasa kejadian memandu kenderaan jenis Toyota Land Cruiser tersebut dari arah Betong menuju ke Sarikei pada jam 3 petang.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu (mangsa) kerana dipercayai memandu laju sehingga menyebabkan kenderaan hilang kawalan lalu terbabas sebelum terbalik (mengiring).

“Akibat kemalangan menyebabkan pemandu mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa telah dihantar ke Rumah Mayat Hospital Saratok untuk tindakan selanjutnya.

Manakala penumpang-penumpang yang mengalami kecederaan telah mendapat rawatan di klinik berdekatan.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily