This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 6 Jun: Terpedaya dengan pulangan sehingga 20 peratus menyebabkan seorang jurujual sanggup melabur RM524,800 dalam satu skim pelaburan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata lelaki berusia 33 tahun itu mulanya tertarik dengan skim pelaburan tersebut yang ditawarkan di Facebook pada 28 April lalu.
Katanya, mangsa yang bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi kemudian bersetuju untuk menyertai skim pelaburan tersebut selepas dia dihubungi oleh seorang suspek yang kemudian menerangkan lebih lanjut mengenainya.
“Mangsa tanpa ragu-ragu melakukan 19 transaksi pindahan wang keseluruhan berjumlah RM524,800 ke tujuh akaun bank berlainan di antara 28 April sehingga 5 Jun.
“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu setelah suspek gagal dihubungi lagi melalui nombor-nombor telefon tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis berhubung kejadian dan siasatan polis masih dijalankan. — DayakDaily