Oleh Dean Adam
MUKAH, Mei 14: Seorang juragan kapal warga India dilaporkan hilang selepas dikatakan terjatuh dari kapal di Pangkalan Feri Daro di sini semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mangsa yang dilaporkan hilang dikenal pasti sebagai Lembodaran Nair Jayalatha berusia 27 tahun.
Katanya, saksi memberitahu ketika kejadian kapal yang membawa muatan pasir itu telah ditambat berhampiran dengan Pangkalan Feri Daro.
“Bagaimanapun ketika mangsa berjalan di tepi kapal, mangsa dikatakan telah tergelincir lalu terjatuh ke dalam Sungai Batang Lassa.
“Pencarian awal dilakukan oleh pekerja kapal namun mangsa masih gagal dijumpai sebelum kes itu dimaklumkan kepada pihak bomba,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap sama menambah, operasi pencarian dilakukan dengan menggunakan teknik mencari di permukaan sungai dalam radius 4 kilometer (km) ke hulu dan 4 km ke hilir dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.
Katanya, ketua operasi turut meminta agar pihak pengurusan kapal supaya mengalihkan kapal itu ke lokasi lain kerana dikhuatiri mangsa berada di bawah kapal tersebut.
“Namun, sehingga kini mangsa masih belum ditemui dan operasi akan bersambung esok,” katanya. — DayakDaily