Tujuh lelaki dicekup disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah

Royal Malaysia Police logo

KUCHING, Mei 14: Tujuh lelaki ditahan selepas mereka disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi satu serbuan di sebuah rumah di RPR, Batu Kawa di sini semalam.

Serbuan kira-kira pukul 1 petang itu berjaya menahan kesemua lelaki yang berusia antara 16 hingga 23 tahun tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Supt Sahar Abd Latif berkata, siasatan awal mendapati enam daripada mereka adalah penggangur, manakala seorang bekerja sebagai buruh binaan.


Katanya, serbuan dan tangkapan tersebut dilakukan hasil maklumat dan risikan yang dilakukan sebelum itu.

“Hasil ujian kencing yang dijalankan mendapati kesemua mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya di sini hari ini.

Sahar menambah, semakan rekod mendapati kesemua suspek tidak memiliki kesalahan lampau.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952” katanya. — DayakDaily