Oleh Chris Bishop
SEBUYAU, 23 MAC: ADUN Sebuyau merangkap Menteri Muda Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi memohon kepada Kerajaan agar Sebuyau dinaiktaraf menjadi Daerah Penuh.
Katanya, Sebuyau yang berstatus Daerah Kecil kini harus dinaiktaraf untuk membawa lebih banyak lagi pembangunan.
“Projek Jalan Pesisir dan Jalan Utama Kedua yang sedang dibina adalah melalui kawasan Sebuyau.
“Ia dijangka memberi impak yang besar khususnya dari segi pembangunan sosio-ekonomi kepada kawasan Sebuyau dan warga Sebuyau keseluruhannya,” ujar beliau.
Julaihi berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Pecah Tanah Projek Jambatan Batang Lupar yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini.
Tambah Julaihi, daerah kecil Sebuyau kini mempunyai jumlah penduduk lebih kurang 20,000 orang.
Jelas beliau, pekan Sebuyau dan pekan Sebangan yang merupakan pekan pesisir akan mendapat limpahan nikmat pembangunan dalam masa akan datang.
Daerah Kecil Sebuyau berkeluasan 625.07 KM persegi mempunyai 63 buah kampung dan rumah panjang, 19 buah Sekolah Rendah dan sebuah Sekolah Menengah.
“Saya memohon kepada Kerajaan Gabungan Parti Sarawak agar dapat meluluskan permohonan menaik taraf status “Sebuyau dari DAERAH KECIL” kepada “DAERAH PENUH” dalam masa terdekat,” ujar Julaihi. – DayakDaily