Julaihi: Pembangunan rakyat agenda utama kerajaan GPS

Julaihi (tengah) pada Majlis Pelancaran GPS Peringkat Ranting Kampung Sampat Sebangan di Sebuyau. Kredit foto: Ukas

KUCHING, 6 April: Kerajaan Negeri di bawah pimpinan GPS sentiasa mengutamakan agenda pembangunan rakyat tanpa mengira kawasan bandar atau luar bandar.

Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap ADUN Sebuyau Datuk Julaihi Narawi berkata, banyak kemajuan telah dibawa secara berterusan dan berperingkat di seluruh negeri termasuk di kawasan luar bandar.

“Justeru, masyarakat perlu sentiasa menyokong kerajaan GPS yang sentiasa memberikan keutamaan kepada rakyat,” katanya menerusi satu laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas).


Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Gabungan Parti Sarawak (GPS) Peringkat Ranting Kampung Sampat Sebangan di Sebuyau pada Isnin (5 April).

Tambah Julaihi yang juga Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), orang luar seharusnya tidak diberi peluang untuk menentukan arah tujuan kawasan warga Sarawak.

Katanya, harus diingatkan bahawa kerajaan GPS merupakan kerajaan yang sentiasa menitikberatkan agenda pembangunan seperti jalan raya di kawasan luar bandar.

“GPS telah banyak membawa agenda pembangunan seperti perubahan yang telah dibawa dan perubahan itu tetap terus berlaku termasuk pembangunan kawasan Sebuyau.” — DayakDaily