Julaihi: Jambatan Batang Lupar adalah Raja Jambatan di Malaysia

Jambatan Batang Lupar 1.

SEBUYAU, 23 Mac: Menteri Muda Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi menyifatkan Jambatan Batang Lupar sebagai Raja Jambatan apabila siap kelak.

Beliau yang juga Adun Sebuyau berkata, jambatan tersebut adalah jambatan yang paling strategik serta paling panjang merentasi sungai di Sarawak.

Katanya, ia juga jambatan yang paling panjang merentasi sungai di Malaysia.


“Adalah tepat untuk saya ungkapkan bahawa jambatan Batang Lupar boleh dikategorikan sebagai Raja Jambatan merentasi sungai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan di Majlis Pecah Tanah Jambatan Batang Lupar di sini, hari ini.

Majlis telah dirasmikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurut Julaihi lagi, Jambatan Batang Lupar yang bernilai RM848 juta adalah jambatan yang paling strategik yang terletak di laluan jalan pesisir yang diguna oleh semua pengguna dari seluruh Sarawak.

Pembinaan jambatan sepanjang 5.1 km itu memakan masa 48 bulan dan dijangka siap pada 6 Januari 2025.

Berhubung pembinaan jambatan tersebut, Julaihi berkata ia melibatkan dua komponen utama.

“Pertama, ialah membina jalan tuju ke jambatan di sebelah Sebuyau sepanjang 3km dan satu lagi jalan tuju ke jambatan di sebelah Triso sepanjang 2.8km panjang yang mana telah mula dibina sejak tahun lepas dengan kos sebanyak RM 66 juta.

“Kedua, ialah membina struktur Jambatan Batang Lupar itu sendiri sepanjang 4.8km dengan dua lorong sehala yang mempunyai piawaian jalan iaitu ‘standard’ jalan JKR R5 dengan ruang pelepasan pelayaran 26 meter untuk membolehkan kapal-kapal melalui jambatan tersebut.

“Selain itu, sepanjang 600 meter jambatan ini nanti merupakan jambatan ikonik jenis kabel-penahan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Sarawak menanggung subsidi sebanyak RM78 juta setahun bagi membiayai kemudahan feri di seluruh negeri.

Jelas beliau, ia meliputi 12 pangkalan feri termasuk tujuh pangkalan di laluan jalan pesisir. — DayakDaily