‘Juice Master’ bernilai RM1.9 juta berisi dadah, dibungkus, diproses di Miri terbongkar

Mohd Azman bercakap dalam sidang media tersebut.
Advertisement

KUCHING, 20 Jan: Sebuah unit pangsapuri di Jalan Bulatan Park, Miri diserbu kerana disyaki dijadikan tempat penyimpanan dan pembungkusan dadah jenis serbuk ekstasi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun ditangkap dalam serbuan tersebut yang dijalankan pada 18 Jan sekitar jam 5.45 petang.

Katanya, hasil serbuan telah menemui 39,800 gram serbuk ekstasi atau MDMA (3,4 methylenedioxy-methamphetamine) yang dianggarkan bernilai sekitar RM1.9 juta.

Advertisement

“Nilai rampasan dadah ini adalah yang tertinggi di Sarawak sejak tahun 2021.

“Turut dirampas adalah peralatan penyimpanan dan pembungkusan seperti tong plastik, besen, penapis, corong, senduk, penimbang, sealer dan bungkusan Juice Master,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.

Tambahnya, suspek turut mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah dan satu rekod jenayah berkaitan kes judi.

“Siasatan awal mendapati suspek memperolehi dadah tersebut dari rakan sejenayahnya.

“Suspek membungkus dadah menggunakan paket-paket Juice Master dan mengedarkan kepada pembeli dari sekitar Miri, Bintulu, Sibu dan Kuching,” katanya.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, untuk Op Tapis Khas yang dijalankan dari 17 hingga 19 Jan, keseluruhan kontinjen Sarawak telah rampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM2 juta.

Selain itu, seramai 328 individu berusia lingkungan 17 hingga 65 tahun ditangkap sepanjang operasi tersebut dijalankan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dadah boleh menyalurkan kepada JSJN PDRM di talian 012-2087222(WhatsApp). — DayakDaily

Advertisement