Jugah gesa ketua masyarakat maklumkan masalah ke saluran betul

Ketibaan Jugah disambut meriah penghuni Rh Kennedy, Langkang Ulu, Engkilili.

KUCHING, Julai 28: Ahli Parlimen (MP) Lubok Antu Jugah Muyang menyeru ketua-ketua masyarakat memaklumkan permasalahan mereka melalui saluran yang betul.

Katanya, masalah rakyat tidak dapat diselesaikan jika mereka gagal berbuat demikian.

Selain itu, Jugah percaya majlis pemimpin bersama rakyat adalah landasan terbaik untuk mendengar sekaligus mencari penyelesaian kepada masalah rakyat.


“Majlis bersama rakyat menjadi landasan terbaik untuk wakil rakyat mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi.

“Melalui peluang yang ada itu juga, ketua-ketua masyarakat dan kaum, para kaunselor, ketua jabatan dan sebagainya boleh bertukar fikiran dan pandangan bagi mendengar masalah rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Pemimpin Mesra Rakyat Rumah Kennedy, Langkang Ulu, Engkilili hari ini.

Di majlis yang sama, beliau mengajak rakyat berkerjasama membina semula daerah termiskin Lubok Antu.

Jugah percaya usaha itu boleh dicapai walaupun ianya bukanlah perkara yang mudah.

“Kita perlu membetulkan keadaan dalam masa yang sama meneruskan pertumbuhan ekonomi yang memberi manfaat kepada semua rakyat

“Pendekatan dan kesepakatan yang melibatkan semua pihak yang berkepentingan harus dicari untuk mencapai keadilan ekonomi dan pembaharuan,” ujar beliau.

Di majlis tersdebut, Jugah turut menyumbangkan geran RM20,000 kepada JKKK Rh Kennedy untuk membangunkan aktiviti rumah panjang berkenaan. — DayakDaily