Judi di pondok, 4 ditangkap, wang tunai RM12,408 dirampas di Samarahan

Keempat-empat suspek ditangkap untuk siasatan lanjut.
Advertisement

KOTA SAMARAHAN, 11 Julai: Seramai empat lelaki ditangkap bersama wang tunai sekitar RM12,408 ketika sedang leka berjudi di sebuah pondok di hutan dekat Kampung Jernang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Sudirman Kram berkata satu serbuan di bawah Op Dadu Khas dilakukan selepas mendapat maklumat berkenaan aktiviti perjudian tersebut sekitar jam 2.40 petang.

Jelasnya, setiba di lokasi serbuan didapati keempat-empat suspek sedang leka berjudi jenis Mahjong.

Advertisement

Kesemua suspek berusia lingkungan 28 hingga 66 tahun kemudian ditangkap untuk siasatan lanjut.

Turut dirampas ialah set buah mahjong, alat tulis dan wang tunai RM12,408.

Kesemua suspek dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan untuk siasatan di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Keempat-empat suspek juga dikenakan kompaun di bawah Perkara 17(1) PPPPB 2021 (PPN) kerana tidak mematuhi SOP Pelan Pemulihan Negara.

Sudirman juga menyeru orang ramai untuk terus melaporkan kepada pihaknya jika terdapat kegiatan perjudian termasuk penjualan loteri haram atau judi online dengan menghubungi 082-622101. — DayakDaily

Advertisement