KUCHING, Sept 4: Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie menyerahkan jubah yang dipakainya ketika menjadi anak Sarawak pertama memegang jawatan itu kepada Muzium Negeri ini.
Beliau menyerahkan jubah itu kepada Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah selepas sidang media Sarawak Regatta-Kuching Waterfront Festival 2019 di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Di sidang media itu, Sulong sebagai Pengerusi Petra Energy Berhad juga menyampaikan penajaan syarikat itu sebanyak RM100,000 kepada acara Sarawak Regatta-Kuching Waterfront Festival 2019 yang akan diadakan di Tebingan Kuching dari Okt 25 hingga Nov 3 depan.
“Kebiasaannya jubah ini amat dihargai pemiliknya dan disimpan dirumah, tetapi Tan Sri (Sulong) sanggup menyerahkannya kepada kami,” kata Abdul Karim.
Beliau berkata jubah itu akan dipamerkan di satu galeri dalam Muzium Negeri yang khusus mempamerkan barangan bersejarah sedemikian.
“Saya dan (Menteri Muda Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian) Datuk Sebastian Ting juga adalah peguam tapi kami mungkin tidak berpeluang memakai (jubah) ini,” katanya.
Sulong yang berasal dari Saratok telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada April 2012 dan bersara pada Januari 2013. ā DayakDaily