JSJN Sarawak cekup 43 individu disyaki terlibat penyalahgunaan dadah di Bintulu

Gambar komposit menunjukkan 43 individu yang diberkas polis.

Oleh Dean Adam

BINTULU, Dis 18: Seramai 43 individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah diberkas dalam Ops Tapis Khas yang dilakukan di sekitar pusat bandar ini.

Operasi khas yang dilakukan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak itu dilakukan bermula pukul 9 malam Ahad hingga 2.30 pagi semalam.


Ketua JSJN Sarawak, Supt Sahar Abd Latif berkata, kesemua 43 individu yang diberkas itu merupakan antara 85 individu yang diperiksa sepanjang Ops Tapis Khas tersebut.

Menurutnya, daripada 43 individu yang ditahan terbabit, 35 orang merupakan rakyat tempatan, manakala lapan lagi warga Indonesia.

“Kesemua yang ditahan berkenaan berusia antara 16 hingga 45 tahun.

“Hasil operasi tersebut, pasukan polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 0.95 gram yang dianggarkan bernilai RM150,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Sahar menambah, dalam operasi berkenaan, tiga kawasan telah diserbu iaitu di Jalan Abg Galau Medan Sepadu, Bangunan Saga Sonic, Jalan Masjid dan di kawasan Temple Street di sini.

Katanya, kesemua individu yang dicekup kemudian ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu untuk siasatan lanjut.

“Tiga individu akan disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Manakala 40 orang lagi disiasat mengikut Seksyen 15(1) (a) ADB 1952,” ujarnya. — DayakDaily