JPJ Sarawak: Lima kenderaan disita dalam Ops Ambang Tahun Baru

Pengarah JPJ Sarawak Norizan Jili turut sama melakukan pemeriksaan. Foto: JPJ Sarawak

KUCHING, 1 Jan: Lima kenderaan disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak atas pelbagai kesalahan sepanjang Ops Khas Ambang Tahun Baharu 2023 malam tadi.

JPJ Sarawak melalui laman Facebooknya memberitahu pihaknya telah mengadakan operasi di beberapa lokasi di seluruh negeri dengan turut disertai Pengarah JPJ Sarawak Norizan Jili.

Katanya, operasi adalah untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap pemandu atau pemilik kenderaan yang gagal patuhi peraturan ditetapkan.


“Dalam operasi tersebut, kebanyakan notis ketidakpatuhan jalan raya dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, tiada cukai jalan, tiada perlindungan insuran, penyalahgunaan lampu HID dan sebagainya.

“Pasukan operasi turut menyita lima buah kenderaan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, tindakan diambil di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987(Akta 333) dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987(Akta 334) serta kaedah-kaedah dibawahnya.

Hadir sama dalam operasi tersebut ialah Ketua Bahagian Penguatkuasa Negeri Puan Maya Morsidi dan Ketua Seksyen Operasi Negeri Tuan Saifullah Ali.

Untuk sebarang aduan trafik bolehlah disalurkan terus melalui aplikasi e-Aduan @jpj atau http://jpj.spab.gov.my beserta butiran pengadu dan butiran aduan. — DayakDaily