JPJ buka kaunter mulai 29 April, khusus urusan kenderaan perdagangan

Trucks. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, April 27: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuka perkhidmatan kaunternya bermula Rabu (29 April).

Ia khusus untuk urusan kenderaan perdagangan meliputi barangan, pelancongan dan perkhidmatan awam.

JPJ dalam satu kenyataan hari ini menyatakan, perkhidmatan kaunter dari 8 pagi hingga 1 tengah hari itu tidak melibatkan kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing buat masa ini.


“Urusan yang akan dilaksanakan adalah pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM), pembaharuan Lesen Memandu Malaysia dan Lesen Vokasional (GDL dan PSV) serta penyelesaian senarai hitam dan pembayaran saman membabitkan LKM, GDL dan PSV,” menurut kenyataan itu.

JPJ turut memaklumkan bahawa bagi pemandu kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pengecualian pembaharuan LKM yang diberikan sebelum ini masih berkuatkuasa serta terpakai, dengan syarat kenderaan mereka mempunyai perlindungan insurans yang sah, sepanjang perkhidmatan dan pengoperasian.

Di Sarawak, kaunter yang dibuka adalah di JPJ Kuching serta cawangan Sri Aman, Sarikei, Bintulu, Sibu dan Miri. — DayakDaily