JPBNS: Keadaan banjir di Marudi dan Beluru terkawal

Uggah (tiga dari kanan) pada lawatan ke kawasan banjir di pekan Marudi hari ini (Disember 17, 2019).

KUCHING, Dis 17: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini melawat keadaan banjir yang berlaku di daerah Marudi dan Beluru.

Pada lawatan tersebut, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berpuas hati dengan persiapan dan perkhidmatan yang disediakan JPBNS.

Selain melawat kawasan banjir dan bertemu dengan mangsa, Uggah turut menghadiri taklimat status banjir dari pegawai Daerah Marudi dan pegawai Daerah Beluru.


Daerah Marudi dilanda banjir sejak Disember 2 lepas dan keadaan paling teruk berlaku pada Ahad lepas (Disember 15).

Secara keseluruhannya, terdapat 56 lokasi yang terjejas dengan banjir dimana 14 lokasi telah surut sepenuhnya, 20 lokasi hampir surut sepenuhnya dan 22 beransur surut.

Sejumlah dua keluarga (9 orang) telah dipindahkan ke pusat Pemindahan di Dewan Suarah Marudi.

Manakala, di Daerah Beluru pula sebanyak 28 lokasi terjejas banjir dan trend banjir adalah semakin surut.

Uggah (mendukung bayi) ketika bertemu dengan mangsa banjir di Dewan Suarah Marudi.

Masalah utama yang dihadapi penduduk ialah terputus perhubungan darat namun tiada pemindahan dilakukan dan keadaan terkawal.

Bekalan makanan dari JPBNS kepada mangsa yang terjejas berjalan lancar dengan kerjasama semua termasuk penduduk kampung.

Turut hadir pada lawatan tersebut MP Baram Anyi Ngau dan Pemangku Residen Miri Abdul Aziz. — DayakDaily