JPBB Miri lancar video promosi vaksin Covid-19

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin ketika proses rakaman video promosi kesedaran vaksin Covid-19.

MIRI, 25 Mac: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri telah melancarkan empat video promosi vaksin COVID-19 bertempat di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Bahagian Miri sejurus selepas selesai mesyuarat pada pagi Khamis.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri yang juga Pemangku Residen Bahagian Miri, Abdul Aziz Mohd Yusuf, keempat-empat video promosi vaksin COVID-19 yang masing-masingnya berdurasi 01:29 minit, 1:13 minit, 52 saat dan 56 saat itu dihasilkan dalam empat bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Bahasa Cina dan Bahasa Iban.

Kesemua video tersebut memaparkan empat individu yang sememangnya amat sinonim dan penting dalam kalangan masyarakat di bahagian Miri iaitu Menteri Prngangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin, yang juga Menteri bertanggungjawab JPBB Miri; Dato’ Dr Fam Tem Lom, Pakar Perubatan AM U56 Hospital Miri; Dr Faizul Mansoor, mantan Pegawai Kesihatan Miri yang pernah berkhidmat di Miri sejak tahun 1983 hingga 2014 dan bekas pelaru pecut negara Watson Nyambek.


Bekas pelaru pecut negara, Watson Nyambek juga turut terlibat dalan proses pembikinan video promosi kesedaran vaksin covid-19

Video yang dilancarkan ini menyampaikan mesej memberikan maklumat serta kesedaran kepada masyarakat di Miri khususnya mengenai kepentingan untuk mendapatkan vaksinasi COVID-19 serta maklumat umum mengenai vaksin tersebut yang dijangka akan mula diberikan kepada orang ramai melalui Aktiviti Pemberian Vaksin Fasa 02 dan Fasa 03 bermula pada April ini.

JPBB Miri sekali lagi mengingatkan orang ramai agar mendaftar segera melalui aplikasi MySejahtera atau melalui empat kaedah lain seperti disarankan JPBB Miri sebelum ini untuk mendapatkan pemberian vaksin COVID-19 Fasa 02 dan Fasa 03 bagi mengelakkan mereka daripada keciciran.

Orang ramai diingatkan terus kekal waspada dan sentiasa mematuhi aspek Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan COVID-19 secara ketat. — DayakDaily