JPBB Miri guna dron pantau pembakaran terbuka

Gambar yang diambil dari dron menunjukkan kawasan sekitar Tudan

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 2 Mac: Dua agensi iaitu Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Wilayah Utara Miri dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) kini giat melakukan pemantauan dan pengawasan pembakaran terbuka di kawasan Kuala Baram Miri bagi mengelak kebakaran tanah gambut yang boleh mengakibatkan jerebu di Miri.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin yang juga Menteri bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri menjelaskan perkara ini dalam kenyataan media hari ini.


Pada Ahad lepas, Lee bersama Pemangku Residen Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf dan semua agensi di bawah JPBB Miri telah melakukan lawatan ke Menara Tinjau Tudan untuk memantau keadaan serta berbincang strategi pencegahan kebakaran tanah gambut iaitu pemantauan dengan menggunakan dron.

Lee turut memaklumkan, NREB dengan kerjasama NAIM kini telah melakukan pemantauan secara aktif dengan menggunakan dron bagi mengesan pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan pembakaran terbuka.

Beliau berkata berdasarkan maklumat daripada Pejabat Meteorologi Miri, Miri kini berada di penghujung Monsun Timur Laut yang akan berakhir pada Mac.

“Miri akan mengalami musim kering iaitu memasuki fasa Monsun Barat Daya yang akan berlaku dari April sehingga Mei,” ujarnya.

“Maka, untuk mencegah daripada fenomena jerebu melanda Miri semasa musim kering, JPBB Miri akan memulakan persiapan sekarang, paling penting pemantauan dan pengawasan yang berterusan,” katanya.

Mengulas mengenai rondaan pemantauan dan pengawasan, Lee berkata bahawa rondaan rutin dilakukan setiap dua jam oleh pihak NREB dan setakat pemantauan petang semalam di lokasi Lot 3393, Lot 3709, Lot 4042, Lot 3711 dan Bandar Baru Permyjaya mendapati tiada pembakaran terbuka dilaporkan oleh petugas rondaan kecuali satu penemuan pembakaran kecil di kebun yang telah berjaya dipadamkan NREB untuk mengelak daripada merebak ke kawasan belukar berhampiran.

Manakala, pemantauan melalui dron setakat 4.40 petang semalam di semua lokasi pula melaporkan semua lokasi menunjukkan keadaan baik dan terkawal.

Pemantauan terus dilakukan pada setiap dua jam sehingga tamat syif bertugas pada jam 7 petang.

“JPBB Miri memohon kerjasama erat masyarakat bagi memastikan Miri bebas daripada kebakaran tanah gambut dan jerebu,” ujar Lee. — DayakDaily