Jom makan 2,000 durian percuma di Program Sarawakku Sayang di Kota Samarahan

Orang ramai yang makan sebanyak 1,500 biji durian dari Tarat di Program Sarawakku Sayang, Jaga Sarawak. Intu Sarawak di dataran terbuka bersebelahan Dewan Suarah Samarahan, hari ini (Jan 12, 2020).

KOTA SAMARAHAN, Jan 12: Jabatan Pertanian Sarawak mempelawa orang ramai makan beramai-ramai secara percuma 2,000 biji durian dari Simunjan semasa Program Sarawakku Sayang bertemakan ‘Jaga Sarawak, Intu Sarawak’ di dataran terbuka bersebelahan Dewan Suarah Samarahan, di sini, esok.

Pegawai Jabatan Pertanian Sarawak, Napi Mohd berkata pihaknya akan mula mengagihkan durian tersebut selepas selesai sahaja majlis perasmian program berkenaan yang akan disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Sebanyak 2,000 biji durian pelbagai jenis dari kawasan Simunjan akan kami agihkan kepada orang ramai selepas itu bagi dimakan mereka beramai-ramai di program ini secara percuma,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri acara memakan beramai-ramai 1,500 durian dari Tarat di tapak program itu hari ini.


Napi berkata acara makan durian dari Tarat dan Simunjan beramai-ramai itu yang dinamakan “Lan Kito Makan Durian Lok” adalah dianjurkan secara kerjasama Jabatan Pertanian Sarawak dengan kerajaan negeri sempena program terbabit.

“Berikutan sambutan mengalakkan dari orang ramai acara makan durian itu hari ini, kami juga akan membawa peralatan khas bagi membuka kulit durian ke acara itu esok,” katanya, sambil menambah Ketua Menteri juga akan dijangka menyertai acara itu esok. — DayakDaily