JKR: Separuh jalan ditutup berhampiran Kampung Duyoh

Peta kedudukan kawasan terlibat dengan kerja-kerja pembentungan berhampiran Kampung Duyoh.

KUCHING, 8 NOV: Jabatan Kerja Raya(JKR) akan melakukan kerja-kerja memperbaiki pembentung jalan di Km 13 Jalan Serikin berhampiran Kampung Duyoh pada 9 hingga 10 November ini, mulai 8 pagi hingga 5 petang.

JKR Bahagian Kuching dalam kenyataan berkata, akibat daripada kerja-kerja itu, satu lencongan akan dibuat kesan daripada penutupan separuh jalan.

Justeru, pengguna jalan raya dinasihati agar mematuhi papan tanda keselamatan yang disediakan di sekitar kawasan yang terlibat dan ikut arahan penjaga bendera untuk melancarkan pergerakan trafik.


Pengguna jalan tersebut juga diminta menggunakan laluan alternatif.

Pihak JKR Daerah Bau akan memaklumkan sekiranya terdapat sebarang perubahan pada tarikh, waktu atau kawasan yang terlibat dengan kerja-kerja ini.

Pengguna jalan raya dinasihati merancang perjalanan di kawasan-kawasan yang terlibat. — DayakDaily