JKNS nasihat orang ramai ambil langkah pencegahan kurang kesan jerebu

Dr Jamilah Hashim

Oleh Dean Adam

KUCHING, Ogos 15: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) menasihatkan orang ramai yang berada di kawasan yang merekodkan kualiti udara tidak sihat akibat jerebu di Miri dan Sri Aman supaya mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan ke atas kesihatan.

Pengarahnya, Dr Jamilah Hashim berkata, orang awam perlu mengurangkan aktiviti fizikal yang menyebabkan peningkatan kadar pernafasan dan metabolisme badan.


Katanya, keadaan ini boleh meningkatkan risiko penyakit akibat jerebu dan cuaca panas.

“Orang ramai juga mesti sentiasa berada di dalam bangunan dan jika terpaksa berada di luar, gunakan penutup hidung dan mulut yang sesuai dan pelindung diri seperti payung dan topi.

“Selain itu, orang ramai perlu tutup tingkap bagi mengurangkan asap jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan dan elakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan dengan tidak merokok dan sentiasa membersihkan persekitaran dalaman,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dr Jamilah menambah, kejadian jerebu boleh dikaitkan dengan peningkatan penyakit saluran pernafasan seperti sakit tekak dan selesema, asma serta sakit mata atau konjuntivitis.

Katanya, JKNS sentiasa memantau empat penyakit yang dikaitkan dengan jerebu ini secara mingguan di 15 buah klinik sentinel.

“Orang ramai juga diminta supaya peka dengan perubahan kepada tahap kualiti udara di kawasan masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga.

“Langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu dan cuaca panas juga boleh didapati menerusi laman sesawang KKM seperti berikut:
https://www.infosihat.gov.my/index.php/isu-semasa/51-jerebu;
http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/183; dan
http://www.myhealth.gov.my/cuaca-panas-a-kesihatan/,” katanya. — DayakDaily