KUCHING, Ogos 5: Penguatkuasa Jabatan Hutan Sarawak (JHS) telah menahan sebuah lori dengan muatan 149 batang kayu batak pelbagai saiz di Simpang Tondong, Jalan Bau-Kuching, kelmarin.
Jurucakap JHS berkata, tangkapan itu dilakukan oleh sepasukan anggota penguatkuasa dari Pejabat Hutan Wilayah Kuching.
“Kita menahan dan memeriksa sebuah lori yang membawa muatan batang kayu batak, dan mendapati pemandu lori gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan muatan kayu batak yang dibawa.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati lori tersebut membawa 149 batang kayu batak pelbagai saiz tanpa sebarang tanda Jabatan Hutan Sarawak,” katanya.
Gagal mempamerkan tanda JHS merupakan satu kesalahan dibawah Seksyen 95 (1), Ordinan Hutan Sarawak 2015.
Anggaran nilai rampasan adalah berjumlah RM18,000.
Kesemua barang kes termasuk sebuah lori, empat unit anak kunci lori dan dua keping kanvas telah disimpan di Pejabat Hutan Wilayah Kuching untuk tindakan lanjut. — DayakDaily