RM669,500 disalurkan bagi bantu 1,339 keluarga yang terjejas banjir

Majlis penyerahan bantuan wang ehsan kepada mangsa banjir.

Oleh Dean Adam

BETONG, Ogos 5: Sebanyak RM669,500 telah disalurkan kepada 1,339 buah keluarga yang terjejas akibat banjir di negeri ini tahun lepas.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Mejar (PA) Ismail Mahedin berkata, peruntukan RM500 bagi setiap mangsa terjejas itu adalah daripada Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN).

Katanya, bantuan yang paling banyak disalurkan adalah di Daerah Kecil Debak, Betong iaitu melibatkan seramai 612 keluarga dengan peruntukan berjumlah RM306,000.

“Bantuan wang ehsan bencana ini merupakan salah satu usaha kerajaan dalam membantu rakyat ketika bencana banjir berlaku yang terikat dengan polisi dan prosedur sedia ada.

“Berdasarkan rekod, bencana banjir telah berlaku di sembilan daerah iaitu Kuching, Bau, Lundu, Simunjan, Betong, Pakan, Kanowit, Selangau dan Bukit Mabong,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ismail menambah, tujuan pemberian bantuan wang ehsan itu adalah sebagai tanda keprihatinan dan rasa tanggungjawab kerajaan dalam memberikan sumbangan kepada mangsa bencana yang terlibat.

Katanya, ia juga bagi membantu meringankan beban mangsa bencana buat sementara waktu dan merupakan sumbangan ikhlas tertakluk kepada kadar-kadar dan kelulusan yang ditentukan oleh kerajaan dari semasa ke semasa.

“Ia juga diharapkan dapat membantu mangsa bencana memulakan kehidupan setelah dilanda bencana, namun bantuan wang ehsan ini bukanlah ganti rugi atau pun pampasan,” katanya. ā€” DayakDaily