KUCHING. Mei 27: Penguatkuasa Jabatan Hutan Sarawak (JHS) telah merampas 819 batang kayu balak dengan anggaran nilai royalti sebanyak RM66,780 dalam serbuan yang diadakan di stok simpanan kayu balak, di Ulu Sungai Miramar, Baleh, Kapit awal bulan ini.
Jurucakap JHS berkata, serbuan yang dilakukan sekitar jam 11:45 tengahari itu oleh sepasukan anggota penguatkuasa dari Pejabat Hutan Wilayah Sibu adalah hasil daripada aduan orang awam.
“Hasil serbuan tersebut, kita telah menjumpai sebanyak 819 kayu batang balak pelbagai saiz dan spesis yang telah ditebang secara haram tanpa kelulusan Jabatan Hutan Sarawak dan ini merupakan satu kesalahan dibawah Ordinan Hutan Sarawak 2015,” katanya.
Kesemua kayu balak tersebut masih di lokasi dan dipantau oleh sepasukan penguatkuasa dari Jabatan Hutan Wilayah Sibu untuk tindakan yang selanjutnya, tambahnya lagi. — DayakDaily