Jeti Santaba di Kg Patiambun, Limbang kaya dengan produk pelancongan menarik

Nancy (tiga dari kiri) menerima cenderamata dari Penghulu Sahat Bagol pada lawatan kerja itu.
Advertisement

KUCHING, 22 Mac: Jeti Santaba di Kampung Patiambun, Limbang memiliki produk pelancongan yang menarik dan wajib dikunjungi.

Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Datuk Seri Nancy Shukri menerusi Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Jeti Santaba mempunyai daya tarikan tersendiri untuk dikomersial.

“Jeti Santaba boleh menjadi kawasan tarikan pelancongan dalam dan luar negara.

Advertisement

“Kita sememangnya akan mempromosi dan mengetengahkan aktiviti ekonomi pelancongan supaya para pelancong akan memilih Malaysia sebagai tempat menarik untuk dilawati di dunia seperti yang ada di Daerah Limbang ini,” katanya.

Nancy berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Jeti Santaba Kampung Patiambun, Limbang pada Sabtu (20 Mac).

Mengulas mengenai Jeti Santaba, Nancy berkata, selain mempunyai pemandangan indah dan menarik, ianya juga mempunyai tarikan tersendiri seperti adanya monyet Belanda yang sukar untuk dijumpai.

“Berada Jeti Santaba Kampung Patiambun seolah-olah kita berada di Vietnam. Menariknya di sini, kawasan besar dan bersih serta cantik.

“Selain itu, adanya produk lain lagi selain daripada di sungai ini dengan pada waktu malam ada kelip-kelip,” ujarnya.

Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan merangakap MP Limbang Datuk Hasbi Habibollah, Menteri Muda Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Tanah Adat merangkap Adun Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan Ketua Setiausaha Motac Datuk Dr Noor Zari Hamat. — DayakDaily

Advertisement