Jentera GPS Parlimen Limbang sudah bersedia untuk PRU-15

Dr Abdul Rahman (tiga dari kiri) menyerahkan cek MRP kepada salah seorang penerima. Foto: Ukas

KUCHING, 12 Okt: Jentera Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Parlimen Limbang sudah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), beliau berkata, jentera parti kini hanya menunggu keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh penamaan calon dan tarikh mengundi.

“Sebenarnya jentera pilihan raya telah kita tubuhkan sewaktu menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 tempoh hari dan jentera itulah yang akan kita aktifkan semula untuk menghadapi PRU15.


“Sebagaimana kejayaan yang telah kita kecapi sewaktu PRN pada tahun lepas, kita yakin jentera ini akan bekerja keras dan mempertahankan kerusi Parlimen Limbang yang merupakan salah satu kerusi daripada 31 buah kerusi untuk Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di Dewan Kampung Bunga Raya di Limbang pada Selasa (11 Okt).

Berhubung pengundi muda dan belia, Dr Abdul Rahman yakin pengundi berumur 18 tahun ke atas mampu berfikir secara matang untuk memilih pemimpin yang mampu memerintah negeri dan negara.

Katanya, para belia akan tetap bersama dengan GPS yang selama ini sentiasa mendekati belia.

“Sebelum peraturan undi 18 ini dilaksanakan kita banyak program-program yang menjurus kepada penglibatan belia khususnya di kawasan DUN Bukit Kota.

“Kita mengadakan Program Hari Belia, karnival sukan, bola sepak, badminton, macam-macam kita buat dan penglibatan belia memang begitu baik sekali,” ujarnya lagi.

Terdahulu semasa berucap dalam majlis tersebut, Dr Abdul Rahman yang juga ADUN Bukit Kota berharap peruntukan MRP yang diserahkannya itu dapat membantu para penerima mengadakan aktiviti-aktiviti yang memberikan manfaat.

Beliau telah menyerahkan cek MRP berjumlah RM450,000 kepada 62 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), 20 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah dan 4 PIBG Sekolah Menengah di kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Kota.

Peruntukan MRP berkenaan menyaksikan JKKK menerima sebanyak RM310,000 manakala PIBG Sekolah Rendah menerima RM100,000 dan PIBG Sekolah Menengah pula menerima sebanyak RM40,000. — DayakDaily