JBPM Sarawak menambahkan rondaan pada Hari Gawai, Hari Raya

Khirudin (dua dari kiri) menyaksikan Pengurus Shell wilayah Sabah Sarawak, Yakub Tuarang (kanan) menyerahkan sumbangan lemang kepada wakil surau dan masjid di Kuching pada Program Kolaborasi Bakar Lemang Bersama Abang Bomba dan Shell Sarawak 2019, di Ibupejabat JBPM Sarawak.
Advertisement

KUCHING, Mei 22: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak akan mengarahkan semua balai bomba seluruh Sarawak mengadakan rondaan mencegah kebakaran lewat malam dan awal pagi pada perayaan Hari Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Pengarah JBPM Sarawak, Khirudin Drahman berkata rondaan terbabit akan diadakan setiap 3 jam iaitu pada jam 10 malam, 1 pagi dan 4 jam pagi dan akan bermula seminggu sebelum hari perayaan, semasa hari perayaan dan seminggu selepas hari perayaan.

“Semua balai (bomba) di seluruh Sarawak diminta untuk membuat rondaan terbabit terutama di kawasan-kawasan pasar dan kawasan perumahan.

Advertisement

“Kita juga akan mempertingkatkan rondaan ini supaya apabila berlaku kebakaran, tindakan awal dapat diambil untuk mengawal kemusnahannya,” katanya ketika Majlis Perasmian Kempen Keselamatan Kebakaran Sempena Musim Perayaan Gawai Dan Hari Raya Aidilfitri 2019 dan Program Kolaborasi Bakar Lemang Bersama Abang Bomba dan Shell Sarawak 2019, di Ibupejabat JBPM Sarawak, di sini, hari ini.

Anggota JBPM Sarawak dan Shell Sarawak yang menghadiri Majlis Perasmian Kempen Keselamatan Kebakaran Sempena Musim Perayaan Gawai Dan Hari Raya Aidilfitri 2019 dan Program Kolaborasi Bakar Lemang Bersama Abang Bomba dan Shell Sarawak 2019, di Ibupejabat JBPM Sarawak hari ini (Mei 22, 2019).

Di majlis tersebut, JBPM Sarawak menyampaikan sumbangan 500 potong lemang yang dimasak anggota bomba dan Shell Sarawak kepada surau dan masjid sekitar Kuching, pasukan bomba sukarela Kampung Bako dan Kampung Buntal serta balai bomba di Zon 1 dan Zon 2.

Khairudin berkata selain itu, rondaan waktu puncak iaitu jam 12.30 tengahari dan 5 petang pada musim perayaan tahun ini juga diteruskan seperti pada tahun sebelum ini.

Katanya pihak meningkatkan rondaan berkenaan tahun ini sehingga lewat malam dan awal pagi kerana mahu menurunkan lagi kejadian kebakaran di Sarawak ketika musim perayaan termasuk kejadian kebakaran rumah panjang.

“Statistik menunjukkan kebakaran rumah panjang (seluruh Sarawak) dari Januari hingga April 2019 adalah sebanyak lima kejadian yang mana melibatkan 157 pintu dan merekodkan satu kematian dan satu kecederaan,” katanya.

Manakala jumlah kerugian akibat kebakaran lima rumah panjang tersebut pula dianggarkan sebanyak RM5.5 juta, namun JBPM Sarawak berjaya menyelamatkan harta benda bernilai RM6.2 juta.

Kharudin berkata statistik terbabit bagaimanapun menurun berbanding tempoh sama tahun lepas yang telah mencatatkan sebanyak lapan kejadian kebakaran rumah panjang di seluruh Sarawak dan melibatkan sebanyak 220 pintu serta satu kecederaan.

Jumlah kerugian akibat kebakaran lapan rumah panjang terbabit pula adalah sebanyak RM12.9 juta tetapi harta benda yang dapat diselamatkan jabatan terlibat adalah sebanyak RM4.8 juta.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk negeri ini samada di bandar ataupun di luar bandar untuk membeli alat pemadam api atau alat pengesan asap untuk digunakan di rumah ketika musim perayaan ini.

Katanya ini kerana kebiasaannya ramai sanggup berbelanja mewah membeli televisyen atau peralatan elektrik rumah lain sebagai persiapan menyambut hari perayaan tetapi bukan alat pemadam api yang sangat berguna sekiranya ada kecemasan kebakaran di rumah mereka. — DayakDaily

Advertisement