JBALB: Penduduk Serian dan Tebedu dinasihat simpan bekalan air pada 21 Sept

Water. — DayakDaily.com file pic. // Image by congerdesign from Pixabay

KUCHING, 18 Sept: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar(JBALB) akan melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan kecemasan di daerah Serian dan Tebedu pada 21 Sept.

Menerusi satu notis yang dikeluarkan hari ini, JBALB berkata pengguna akan mengalami gangguan bekalan air pada hari tersebut mulai jam 10 malam hingga 3 pagi.

Katanya, ia bagi memberi laluan kepada pihak kontraktor yang telah dilantik untuk melakukan kerja baikpulih kebocoran saluran paip air terawat di rumah pam, Loji Rawatan Air Slabi.

“Kawasan yang terjejas melibatkan seluruh kawasan Jalan Kuching-Serian dari Batu 30 sehingga Batu 38 (Stabun).

“Sebahagian Jalan Serian By Pass, sebahagian kawasan Bandar Serian, seluruh kawasan Jalan Ensenggel, kawasan Tarat, Pekan Baki.

“Sepanjang jalan dari Simpang menuju ke Kampung Taee, seluruh kawasan Tebedu dan kawasan sekitarnya,” kata JBALB.

Justeru, pengguna adalah dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air yang secukupnya untuk keperluan panjang tempoh gangguan tersebut.

Menerusi notis itu, JBALB berkata akan memastikan gangguan bekalan air dapat diselesaikan dengan secepat mungkin dan bekalan air akan kembali pulih secara berperingkat di kawasan yang terjejas.

Dalam pada itu, JBALB turut memaklumkan kerja pemasangan “Non-Return Valve” akan dilakukan berhampiran Stesen Pam Penggalak Kampung Tian Sekawan pada 20 September 2021 mulai 10 pagi hingga 4 petang.

Kawasan yang terjejas ialah seluruh kawasan Kampung Tian Sekawan, Kampung Tian Mawang dan kawasan sekitarnya. — DayakDaily