KUCHING, Sept 14: Ekoran dari cuaca panas dan kering yang berterusan, pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sri Aman terus giat melakukan penghantaran bekalan air ke kawasan yang terjejas.
Bekalan air telah dihantar ke hospital, klinik dan sekolah di Sri Aman, rumah panjang di Lubok Antu, Engkilili, Pantu dan juga (pengisian) tangki air di Pusat Pengambilan Air Berpusat JBALB Sri Aman.
Lima lokasi Pusat Pengambilan Air JBALB, iaitu berhadapan dengan Pejabat JKR Sri Aman, flet Kerajaan Negeri di Jalan Kedang, berhadapan Penjara Sri Aman, Kampung Pakit dan Pasar Lachau, Pantu.
JBALB juga memaklumkan yang loji-loji rawatan air masih lagi beroperasi seperti biasa.
“Pada ketika ini, Loji Rawatan Air Bayai beroperasi sebanyak 60 peratus, Loji Rawatan Air Pantu beroperasi 5 jam sehari bergantung kepada keadaan paras air.
“Loji Rawatan Air Lingga, Seduku dan Stumbin beroperasi 2 kali sehari iaitu pada jam 8-10 pagi dan 3-5 petang manakala Loji Rawatan Air Skrang dan Melugu beroperasi sebanyak 50 peratus,” JBALB berkata dalam satu kenyataan media.
Hanya operasi di Skim Pembangunan Lemanak diberhentikan akibat paras air yang kritikal, katanya.
JBALB Sarawak menyeru orang awam untuk berjimat cermat dan menggunakan air secara berhemah sepanjang musim kemarau dan amat menghargai kesabaran penduduk setempat yang terjejas akibat situasi ini.
Segala informasi terkini akan disalurkan menerusi laman Facebook rasmi JBALB Sarawak.
Sebarang aduan dan pertanyaan boleh dilakukan dengan menghubungi Careline JBALB Sri Aman di talian 083-323240/323242. — DayakDaily