KUCHING, 8 Mac: Kerja-kerja baikpulih kebocoran saluran paip utama di Kampung Setunggang Ulu Lundu kini sedang giat dilakukan pihak kontraktor Lebuhraya Pan Borneo.
Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dalam satu kenyataan hari ini berkata, kebocoran berpunca daripada kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Jalan Lundu-Bau.
“Ini telah mengakibatkan beberapa kawasan atau kampung di Daerah Lundu mengalami gangguan bekalan air,” kata JBALB.
Kawasan-kawasan yang terlibat adalah Kampung Bitokan, Kampung Selampit, Kampung Senibong, Kampung Sebandi Hulu dan Hilir, Kampung Setunggang Ulu, Kampung Gerunggang Lama dan Baru.
Turut menghadapi masalah bekalan air ialah Kampung Temelan Melayu dan Dayak, Kampung Klaoh, Kampung Benggang, Kampung Setunggang Melayu Lama dan Dayak sehingga Jalan Lundu Sampadi ke Beruan di Lundu.
Dalam pada itu, penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki juga turut dilakukan oleh pihak kontraktor Pan Borneo dan JBALB Bahagian Kuching ke kawasan-kawasan yang terjejas sehingga keadaan kembali pulih seperti biasa. — DayakDaily