This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 18 Jun: Satu jawatankuasa khas bagi meneliti penurunan kuasa dan perkongsian kuasa berkaitan hal ehwal kesihatan di peringkat Sarawak akan diwujudkan, kata Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Lukanisman berkata, arahan bagi mewujudkan jawatankuasa itu diberikan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Katanya, satu kertas putih telah dikemukakan bagi konteks negeri ini sejajar dengan Kertas Putih Kesihatan yang telah dibentangkan dalam Dewan Rakyat baru-baru ini.
“Di peringkat negeri Sarawak, mereka turut telah mengemukakan satu kertas putih dalam konteks ruang negeri ini yang akan kita bawa berbincang bersama dalam konteks kertas putih yang baru dibentangkan pada minggu lepas,” kata Lukanisman.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Dialisis PBSM Permyjaya di Miri pada petang Sabtu.
Tambah beliau yang juga MP Sibuti, Sarawak akan memohon agar lebih banyak kuasa diberikan di peringkat pengurusan negeri untuk memutuskan beberapa perkara.
“Contohnya seperti apa yang berlaku pada permohonan mesin dialisis dan pembaharuan lesen di Pusat Dialisis Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Permyjaya.
“Ia tanpa melalui CKAPS (Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta KKM) di Putrajaya, penurunan kuasa diberikan kepada CKAPS negeri untuk membuat pemantauan dan kelulusan,” katanya. — DayakDaily