KUCHING, 12 Feb: Jawatankuasa Dasar Rumah Panjang Negara (JDRPN) yang akan merangka dasar kerajaan terhadap penghuni 5,000 rumah panjang di negeri ini dijangka mula ditubuhkan Jun tahun ini.
Pengerusi JDRPN yang juga Ahli Parlimen Saratok dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Ali Biju berkata ketika ini jawatankuasa terbabit secara umumnya masih di peringkat perbincangan penubuhannya selepas beliau diumumkan sebagai pengerusinya Julai tahun lepas.
“Secara umumnya JDRPN masih di peringkat perbincangan, masih belum lagi dirasmikan. Itu (JDRPN ditubuhkan dan mula merangka dasar terbabit) akan dilakukan selepas separuh (2020) atau selepas Gawai Dayak pada Jun ini,” katanya ketika sidang media selepas menjadi tetamu kehormat Majlis Radio Televisyen Malaysia (RTM) Bersama Rakan Sinergi 2019/2020 di Auditorium Kecil, RTM Kuching hari ini.
Ali berkata bagi menubuhkan JDRPN pihaknya akan mengambil pandangan dari semua pihak terutamanya dari pihak berkepentingan iaitu penghuni rumah panjang sendiri dan masyarakat yang masih hidup dalam rumah panjang.
Beliau berkata jawatankuasa terbabit akan memperkenalkan dasar-dasar yang sangat relevan dari segi bagaimana mengaturkan kehidupan sosial dan keselamatan penghuni rumah panjang di samping reka bentuk dan kesesuaian rumah panjang di Sarawak.
“Ini kita akan analisa dan kemukakan (dasar) ini kepada pihak kementerian (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) untuk dilaksanakan,”katanya dengan perlantikannya sebagai pengerusi jawatakuasa diumumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, Julai tahun lepas. —DayakDaily