Jawatan Pengerusi Tetap bagi Majlis Daerah dicadang kepada Kabinet Negeri

Penguang (duduk tengah) pada sidang media di Sibu semalam (27 Sept 2022). Foto: Ukas

KUCHING, 28 Sept: Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mengemukakan cadangan kepada Kabinet Negeri berhubung jawatan pengerusi tetap bagi majlis-majlis daerah di negeri ini yang masih diketuai Pegawai Daerah.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Timbalan Menterinya Datu Dr Penguang Manggil berkata, seorang pengerusi tetap majlis daerah sangat penting memandangkan tugas Pegawai Daerah kini semakin banyak dan berat.

“Kita harus melangkah ke hadapan memandangkan majlis kini berdepan lebih banyak cabaran, tugas dan tanggungjawab memerlukan seorang pengerusi tetap,” katanya dalam sidang media selepas sesi ‘Engagement With Stakeholder’ PBT Central Zon di Perpustakaan Awam Sibu pada Selasa (27 Sept).


Tambah Penguang, lantikan politik jawatan pengerusi tetap majlis daerah itu dilihat perlu bagi membolehkan pihak majlis memberi perkhidmatan lebih baik kepada masyarakat.

Kata beliau yang juga Adun Marudi, Majlis Daerah Marudi (MDM) menjadi satu-satunya majlis daerah yang mempunyai pengerusi tetap buat masa ini.

Dalam pada itu, Penguang menjelaskan kementeriannya juga berusaha membantu menambahkan sumber pendapatan bagi semua pihak berkuasa tempatan (PBT) memandangkan tugas dan tanggungjawab mereka semakin bertambah.

Ujarnya, dengan keperluan orang ramai semakin meningkat dan PBT perlu meluaskan perkhidmatan sehingga ke luar bandar, semua ini memerlukan banyak perbelanjaan.

“Justeru, kita perlu mencari jalan menambah perbelanjaan dengan mengambil kira menjaga kawasan luas serta berhadapan masalah logistik,” jelasnya.

Mengenai tanah-tanah kosong yang dipertanggungjawabkan kepada majlis untuk dijaga, beliau mencadangkan pihak majlis untuk mengambil balik tanah itu seterusnya dimajukan.

Sebagai contoh, tanah tersebut boleh dijadikan tempat parkir, membina gerai dan tempat berniaga yang boleh menjana pendapatan kepada pihak majlis. — DayakDaily