DARO,17 Okt: Jasad tiga remaja lelaki berusia 13 tahun yang dilaporkan hilang di Sungai Batang Lassa berdekatan Stockpile Batu Nangar, di sini pada Ahad (15 Okt) lalu telah dijumpai hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mangsa pertama telah dijumpai pada jam 6.30 pagi oleh pekerja feri, manakala dua lagi mangsa dijumpai pada jam 8.22 pagi dan 9.05 pagi.
“Mangsa pertama dijumpai kira-kira 1 kilometer (km) dari lokasi kejadian, manakala mangsa kedua dan ketiga dijumpai kira-kira 2km dan 4km dari lokasi mereka dilaporkan lemas.
“Ketiga-tiga jasad mangsa telah dibawa ke jeti dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ketiga-tiga mangsa yang memasuki hari ketiga hari ini ditamatkan pada jam 10 pagi.
Difahamkan, ketiga-tiga mangsa semasa kejadian bersama seorang lagi rakan mereka sedang mandi di sungai tersebut.
Bagaimanapun, ketiga-tiga mangsa dikatakan telah dihayutkan arus sehingga menyebabkan mereka lemas.
Operasi SAR dilancarkan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro bersama polis sebaik sahaja laporan diterima. — DayakDaily