Jari tersepit dalam mesin pengisar daging, pekerja hotel cemas

Kelihatan mangsa yang tersepit jari dalam mesin pengisar daging.

MIRI, Mei 15: Seorang pekerja hotel berdepan detik mencemaskan apabila jarinya tersepit dalam mesin pengisar daging di sebuah hotel di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa yang bekerja sebagai pengisar daging sedang melakukan kerja-kerja rutin mengisar daging.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.03 malam.

Katanya, sepasukan lapan anggota bomba kemudian dikerahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Sebaik tiba di hotel berkenaan, anggota bomba mendapati jari mangsa masih tersepit di dalam mesin tersebut.


“Pasukan bomba telah berusaha dan berjaya untuk membuka dan meleraikan beberapa bahagian mesin, namun usaha untuk mengeluarkan jari mangsa masih sukar.

“Atas nasihat dari pihak hospital, mangsa kemudian dirujuk terus ke unit kecemasan untuk tindakan pihak hospital,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Law menambah, operasi itu tamat pada pukul 10.29 malam. — DayakDaily