Jangkitan darah, komplikasi meningitis kemungkinan punca kematian bayi di Perhentian Bas Jelukong

A stethoscope. - DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 19 Dis: Jangkitan darah (sepsis) dengan komplikasi jangkitan selaput otak (meningitis) kemungkinan punca kematian bayi di Perhentian Bas Jelukong, Sri Aman baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr Ooi Choo Huck berkata, ia berdasarkan laporan yang diperolehi daripada temu bual bersama ibu bapa, rekod perubatan dan pemeriksaan fizikal ke atas mayat bayi.

Katanya, atas permintaan pihak keluarga bedah siasat tidak dilakukan dan mayat bayi tersebut kemudian telah dibawa pulang dan dikebumikan.


“Menurut laporan siasatan akhir ke atas isu berkenaan, bayi berumur tiga bulan tersebut telah meninggal dunia di dalam bas semasa dalam perjalanan bersama ibunya dari Kuching ke Sarikei pada 4 Disember 2022.

“Perjalanan bertujuan untuk mendapatkan rawatan tradisional,” kata Dr Ooi dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, ibu bayi menyedari bahawa bayinya tidak bernafas semasa mereka berhenti di perhentian bas tersebut.

Bayi kemudiannya dibawa ke hospital berdekatan dan disahkan telah meninggal dunia di hospital berkenaan. — DayakDaily