SIBU, 22 Dis: Presiden Parti Progresif Demokratik (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing hari ini meneruskan lawatan ke lapan lagi rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong bagi menyelami isu serta permasalahan dan dilema yang membelenggu penduduk setempat.
Semasa lawatan tersebut, beliau juga mengalu-alukan tuai rumah-tuai rumah panjang, penduduk, dan pelbagai pihak, mengemukakan permintaan dan cadangan.
“Di rumah panjang yang dikunjungi hari ini, banyak pemimpin masyarakat khususnya tuai rumah dan penduduk mengadu bahawa mereka tertipu dengan “gula-gula politik” yang dijanjikan. Pembangunan rumah panjang masih tertinggal, yang membuat mereka sangat kecewa.
“Saya merasa sangat terkilan kerana terdapat juga aduan daripada ketua kaum yang mengatakan bahawa mereka dihimpit oleh pemimpin politik parti tertentu yang pada saat ini mempunyai kuasa untuk menyokong salah satu parti politik dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), termasuk menolak pengeluaran sijil pelantikan ketua kaum, yang membuat mereka merasa tidak berdaya,” kata Tiong.
Menurut Tiong, ketua kaum berperanan sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat. Pemimpin politik harus memberi sokongan dan bantuan kepada pihak terbabit sekali gus memberi ruang kepada mereka untuk menyampaikan suara rakyat.
“Menjadikan Bintulu sebagai contoh, pemberian sijil lantikan ketua kaum tidak pernah berdasarkan pilihan peribadi,” kata Tiong, yang juga Ahli Parliamen Bintulu
Justeru, beliau mengingatkan pemimpin politik untuk menang undi dengan berkhidmat untuk rakyat, tanpa paksaan.
“Sesiapa yang ingin menjadi calon, tetapi hanya mendekati rakyat atau muncul apabila menjelang pilihan raya sahaja, maka calon tersebut tidaklah benar-benar membantu rakyat.
“Bukan sahaja tren tidak sihat ini tidak dapat berkembang, tetapi penduduk rumah panjang juga harus memahami. Apa yang kita mahukan adalah pembangunan jangka panjang dan stabil,” kata beliau.
Tiong juga berharap agar penduduk rumah panjang di kawasan DUN Dudong akan terus saling membantu dan bekerjasama rapat dengan pemimpin masyarakat.
“Begitu juga, jika kita hidup di bawah bumbung yang sama, pasti ada ketikanya terdapat pergeseran pendapat.
“Setiap kali kita menghadapi masalah, kita harus berkomunikasi dan berunding dengan tenang, dan kita tidak boleh bertengkar kerana ia akan menyebabkan (perhubungan antara) penghuni rumah panjang retak. Oleh yang demikian, kita harus bersama-sama membina masyarakat yang bersatupadu dan harmoni,” tegas beliau. — DayakDaily