Covid-19: 2,062 kes baru, 911 pulih

Filepix

KUCHING, 22 Dis: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa terdapat 2,062 kes baru Covid-19 dilaporkan hari ini.

Katanya, ia melibatkan 2,058 kes tempatan dan empat kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 95,327 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 17,646 kes,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Selangor kekal melaporkan kes harian baru tertinggi iaitu sebanyak 1,014 kes (49.2 peratus jumlah keseluruhan kes).


Ini diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan sebanyak 504 kes (24.4 peratus) dan Sabah dengan sebanyak 252 kes (12.2 peratus).

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 911 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 79,3040 kes atau 81.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 111 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 51 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan satu kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 439 kes.

“Dukacita dimaklumkan terdapat satu kes kematian dilaporkan hari ini melibatkan warganegara di Hospital Labuan. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat lapan kluster baharu dilaporkan hari ini. — DayakDaily