‘Jangan terpengaruh dengan iklan tular dalam media sosial’

Jamilah (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima.
Advertisement

LUNDU, Mei 23: Umat Islam di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu diingatkan agar tidak membazir ketika membeli juadah berbuka puasa termasuk terpengaruh dengan iklan makanan yang tular dalam media sosial.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datin Patinggi Jamilah Anu berkata, dalam keghairahan umat Islam menyambut Ramadan dan kedatangan Syawal, mereka tidak seharusnya boros dalam perbelanjaan.

Menurutnya, jika berbuka jangan keterlaluan, biarlah bersederhana dan ikut kemampuan diri sendiri.

Advertisement

“Tidak salah membeli, namun janganlah secara berlebihan hingga terjadinya pembaziran.

“Ini kerana, Ramadan adalah bulan umat Islam berpuasa dan meningkatkan amalan yang mendatangkan pahala,” katanya di Surau Kampung Pandan Lundu malam tadi.

Jamilah menambah, trend berbuka puasa di hotel juga tidak menjadi kesalahan asalkan tidak membabitkan pembaziran.

Katanya, kadang-kadang kita menghadiri acara berbuka puasa anjuran pihak tertentu di hotel atau kita sendiri mahu berbuka puasa di hotel.

Meskipun ujarnya, berbelanja adalah hak seseorang, namun pada hakikatnya Islam memandang perkara itu sebagai suatu yang membawa kepada pembaziran.

“Ibadat puasa itu sendiri mengajar umat Islam supaya mengawal nafsu, menahan lapar dan dahaga.

“Sehubungan itu, umat Islam perlu mengekang hawa nafsu kerana bulan Ramadan sepatutnya membantu mendidik kita untuk bersikap sederhana dan berjimat-cermat,” katanya. — DayakDaily

Advertisement