Jangan jadi isu kalimah Allah pemisah keharmonian, kata Brolin

Brolin Nicholsion

KUCHING, 12 Mac: Isu penggunaan kalimah Allah oleh rakyat bukan Islam di negara ini seharusnya tidak dijadikan sebagai pemisah kepada keharmonian yang ada sebelum ini.

Pengerusi DAP Serian, Brolin Nicholsion menerusi satu kenyataan berkata, isu tersebut telah menjadi punca perselisihan faham antara agama di negara ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Katanya, fokus utama setiap orang yang mempunyai peganggan agama haruslah kepada usaha membanteras rasuah, penindasan dan salah guna kuasa bukannya membina tembok pemisah yang mengakibatkan ketidakfahaman antara satu sama lain.


Beliau berkata, kenyataan yang di keluarkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Razlan Rafii yang mengatakan umat Islam sedia turun ke jalanraya jika kerajaan gagal bertindak berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam ibarat mahu menyekat hak kebebasan beragama di negara ini.

“Kami di Sabah dan Sarawak telah lama menggunakan perkataan tersebut malah sahabat kami yang beragama Islam di Sabah dan Sarawak ini tiada bantahan langsung dan mereka tiada masalah dengan penggunaan kalimah Allah.

“Malah, bekas Ketua Menteri kami Allahyarham Tan Sri Adenan Satem membenarkan umat Kristian di Sarawak menggunakan perkataan Allah tersebut.

“Contohi la Sarawak, dimana umat Islam tidak keliru dengan penggunaan perkataan Allah, dimana umat Islam boleh duduk semeja di kopitiam Cina. Jangalah kita menggunakan isu ini sebagai alasan kita untuk memperjuangkan agama kita,” katanya.

Brolin berkata semua pihak harus bersatu dan melupakan hal yang boleh menyebabkan perpecahan kaum di negara ini.

Berpeganglah pada prinsip rukun negara iaitu ‘Kepercayaan kepada Tuhan’ dan ‘Kesopanan dan Kesusilaan’ nescaya, Tuhan pasti membawa Malaysia menjadi sebuah negara maju, tetapi semua ini tidak akan berhasil jikalau tiada kerjasama secara kolektif dari semua kita, rakyat Malaysia,” katanya.