KUCHING, 25 Mac: Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Sarawak berharap agar pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk terus tidak membenarkan pasukan itu digunakan oleh mana-mana parti politik tertentu sebagai instrumen bagi menekan parti lawan demi kepentingan politik mereka.
Ketua Penerangan Keadilan Sarawak, Abun Sui Anyit berkata, pada zaman ledakan teknologi komunikasi dan media sosial kini, satu kesilapan kecil yang berlaku dalam pasukan tersebut akan tersebar dengan cepat dan pantas.
Situasi ini secara lansung akan mencemarkan nama baik pasukan keselamatan itu yang menjadi institusi yang diharapkan oleh rakyat untuk berlindung dan bernaung.
“Semasa masih dalam kepimpinan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pada ketika ini merupakan peluang terbaik untuk Polis mempertingkatkan intergriti dan profesionalisme pasukanya.
” Ini bagi memastikan agar pasukan itu terus dihormati dan yang paling penting boleh diharap oleh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Abun berkata, Keadilan Sarawak sentiasa menyokong penuh usaha yang dilakukan Ketua Polis Negara untuk memperbaiki perbuatan segelintir pegawai dan anggota polis yang dilihat menyalahgunakan kuasa sebagai anggota polis terutamanya dengan kewujudan “kartel” di dalam pasukan tersebut.
Katanya usaha tersebut bukan sahaja dapat membantu dalam membersihkan pasukan itu dari anasir yang boleh mencacatkan nama baik pasukan tetapi juga meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap intergriti pasukan Polis.
“Keadilan Sarawak juga berharap agar kehadiran pegawai-pegawai polis di mana-mana aktiviti sah rakyat akan sentiasa disenangi dan dialu-alukan bukan untuk ditakuti dan menimbulkan perasaan syak,” katanya. -DayakDaily