KUCHING, 14 Mac: Penduduk di sekitar kawasan Baleh kini boleh menarik nafas lega selepas sebuah jambatan sementara di Sungai Merirai siap dibina pada awal Mac ini.
Menurut MP Hulu Rejang Datuk Wilson Ugak Kumbong, jambatan tersebut menjadi akses kepada penduduk di lebih 20 rumah panjang di sekitar kawasan tersebut.
Katanya, pembinaan jambatan sementara tersebut amat penting kerana ia merupakan nadi perhubungan penduduk ke bandar Kapit.
“Jambatan ini penting kepada penduduk di sini kerana masa perjalanan dapat dikurangkan dari tiga ke satu jam berbanding menggunakan pengangkutan sungai.
“Walaupun ia hanya sementara, namun jambatan Sungai Merirai dapat memudahkan penduduk ke Kapit sama ada untuk urusan rasmi atau memasarkan hasil mereka di sana,” katanya.
Wilson berkata demikian selepas melaksanakan upacara ‘miring’ di jambatan sementara Sungai Merirai pada Ahad lepas.
Dalam pada itu, beliau juga menggesa kontraktor terlibat untuk segera menyiapkan jambatan Sungai Merirai demi keselesaan penduduk di kawasan ini.
Projek jambatan Sungai Merirai adalah sebahagian daripada Pakej Jalan Akses Baleh yang turut merangkumi pembinaan jalan dan jambatan di Sungai Entalawan dan Sungai Sepanggil.
Ia juga adalah antara inisiatif kerajaan negeri Sarawak melalui Agensi Pembangunan Ulu Rejang (URDA) bagi membangunkan kawasan di sekitar Hulu Rejang. — DayakDaily