KUCHING, 5 Mac: Pembinaan Jambatan Bintulu-Jepak dengan kos RM466 juta kini mencapai kemajuan sebanyak 49.31 peratus, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), perbincangan telah dilakukan bersama pihak berkaitan dalam menentukan kaedah untuk memastikan projek itu akan siap menjelang hujung bulan Oktober 2024.
Kata Uggah, pihak kontraktor juga telah mengatasi sebahagian besar isu kekurangan tenaga kerja yang dihadapi dengan membawa masuk pekerja asing dari negara China.
“Saya melihat bahawa sekiranya semua perancangan dilaksanakan mengikut jadual dengan pihak kontraktor juga telah mengatasi isu tenaga kerja, dengan itu saya yakin projek ini dapat dijalankan dengan lancar,” katanya ketika ditemui pemberita semasa melakukan lawatan kerja ke tapak projek tersebut semalam.
Tambah Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, musim tengkujuh yang melanda pada bulan-bulan sebelumnya turut menjejaskan kerja-kerja pembinaan.
“Selepas ini, keadaan cuaca dijangka bertambah baik.
“Jadi, kita minta pihak kontraktor meneruskan kerja-kerja pembinaan dengan lebih cepat sebelum musim hujan kembali lagi pada penghujung tahun,” tegasnya. – DayakDaily