Jalan Utama Kedua jajaran Sebuyau-Lingga berjalan lancar, kata Julaihi

Kelihatan Julaihi (tiga dari kiri) semasa lawatan kerja ke tapak jajaran Sebuyau ke Lingga (4 Okt 2021).

KUCHING, 4 Okt: Pembinaan Jalan Utama Kedua bagi Pakej B1 menghubungkan Sebuyau ke Lingga kini berjalan lancar di jajarannya.

Menurut Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi, kerja-kerja pembersihan jajaran sepanjang 28.5km itu kini berbaki 2.5km.

“Sekarang, pembinaan melibatkan kerja-kerja pembersihan di jajaran dengan sepanjang 26km telah pun siap.

“Hanya berbaki 2.5km lagi untuk dibersihkan di mana kerja bermula di sebelah Sebuyau dan Lingga,” katanya pada satu sidang media selesai lawatan ke tapak di Sebuyau hari ini.

Tambah Julaihi, jajaran Sebuyau ke Lingga melibatkan pembinaan sebuah jambatan merentasi Sungai Lingga dan dua lagi jambatan kecil.

Katanya, projek yang bermula pada 5 Januari 2021 lepas dijangka siap pada bulan Mei 2025.

“Projek Jalan Utama Kedua dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri dan bertujuan untuk memendekkan masa serta jarak perjalanan daripada Bandaraya Kuching ke Simanggang, Betong dan Sibu.

“Ia seterusnya dihubungkan ke Jaringan Jalan Pesisir dan Lebuhraya Pan Borneo,” ujar beliau.

Jelas Julaihi, apabila Jalan Utama Kedua dan Jalan Pesisir siap nanti, jarak perjalanan di antara Kuching ke Sibu dapat dikurangkan kepada 225km manakala Kuching ke Betong dikurangkan kepada 142Km. — DayakDaily