This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 5 Sept: Jalan sementara akan dibina bagi memudahkan pergerakan keluar masuk penduduk di Taman Dahlia, Batu 5 Jalan Matang di sini.
Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, perkara tersebut telah dibincangkan bersama pemilik tanah, Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC).
“Kita telah meminta pihak pemaju bagi projek pembangunan berhampiran untuk tidak menutup jalan sementara sedia ada, sebaliknya kita akan membesarkannya bagi kemudahan penduduk.
“Kedua, kita akan membina lorong pejalan kaki lebih kurang 100 meter khusus bagi memudahkan anak-anak untuk ke sekolah,” katanya pada sidang media di Taman Dahlia hari ini.
Tambah Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, ia adalah merupakan kaedah penyelesaian sementara.
Namun katanya, apabila sudah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Perancangan Negeri kelak, jalan tersebut akan menjadi jalan sah.
“Jalan sementara ini akan dibina serta merta kerana tanah ini milik HDC.
“Walaupun sementara, kita berharap pihak SPA memberikan kelulusan segera dan ia menyelesaikan masalah di sini,” kata Dr Sim.
Dalam pada itu tambah beliau, Adun Tupong Fazarrudin Abdul Rahman telah berusaha untuk mencari kawasan yang sesuai untuk membina parkir di Taman Dahlia.
Katanya ia penting kerana terdapat 817 unit rumah di Taman Dahlia dan hanya ada 400 parkir sahaja buat masa ini. — DayakDaily