Oleh Muhammad Akmal Rizki
KUCHING, Apr 14: Jaguh baling tukul besi negara dari Sarawak, Jackie Wong Siew Cher mendedahkan keadaannya semakin berasur baik meskipun masih positif Covid-19.
Menurut pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu, ketika ini beliau masih dikuarantin di Hospital Sibu sejak dimasukkan pada 16 Mac.
“Hasil ujian pada minggu lepas mendapati saya masih positif Covid-19.
“Bagaimanapun, keadaan saya semakin baik, cuma kadang-kadang masih terasa agak letih,” katanya ketika dihubungi melalui aplikasi Whatsapp hari ini.
Seperti kebanyakan orang lain, Jackie juga menanam impian untuk kembali pulih seperti sedia kala agar dapat meluangkan masa bersama keluarga ketika negara sedang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau juga berpesan kepada orang ramai untuk mematuhi PKP dan tidak keluar rumah jika tiada ada kepentingan kerana wabak berkenaan sangat mudah untuk dijangkiti.
“Saya ingin seperti anda semua di luar sana. Dapat duduk, makan dan berbual bersama-sama dengan ahli keluarga daripada duduk di sini.
“Jadi, hargailah masa yang ada dengan meluangkannya bersama-sama dengan ahli keluarga anda,” katanya.
Bagi mengekalkan tahap kecergasannya, Jackie melakukan senaman ringan setiap hari di sebelah petang.
Beliau juga mengisi lapang dengan bersembahyang, membaca buku dan menonton filem.
Jackie mula dikuarantin di Hospital Sibu sejak 16 Mac selepas disahkan positif Covid-19 dipercayai dijangkiti ayah beliau, Wong Ling Biu Andrew yang juga positif wabak berkenaan.
Menurut Jackie, ayahnya yang merupakan Ahli Parlimen Sarikei juga masih dirawat di hospital sama hingga sekarang.
Nama Jackie cukup gah di rantau Asia Tenggara sebagai jaguh baling tukul besi tersohor negara dan merupakan pemegang rekod kebangsaan dengan jarak 68.22 meter. —DayakDaily