Jabatan Penjara Malaysia setuju pelaksanaan tahanan rumah — Saifuddin

Saifuddin (dua kiri) melekatkan pangkat kehormat kepada salah seorang pegawai penjara di Sambutan Hari Penjara ke 234

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 2 Mac: Jabatan Penjara Malaysia secara prinsip telah bersetuju melaksanakan Tahanan Rumah, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut beliau, pihaknya kini sedang meneliti semula peruntukan undang-undang dan proses yang terlibat apabila ia dilaksanakan kelak.


Katanya, program tahanan rumah akan menyumbang kepada pengurangan kesesakan dan penjimatan perbelanjaan di penjara.

“Maksudnya kalau yang disabit kesalahan itu adalah warga emas atau OKU atau wanita yang mengandung, keadaan mereka itu adalah lebih manusiawi kalau kita letakkan mereka di luar bukan dalam tembok.

“Dan untuk itu, kita boleh pasangkan peranti pemantauan elektronik untuk kita laksanakan tahanan rumah.

“Saya tugaskan ketua setiausaha KDN untuk buat semakan dan beri maklum balas, perkara ini mesti disegerakan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Penjara ke-234 Kompleks Penjara Puncak Borneo hari ini.

Tambah Saifuddin, penghuni penjara yang terlibat bagi program tahanan rumah terdiri individu berpenyakit kronik, warga emas, orang kurang upaya dan ibu mengandung.

Selain itu katanya, pihak penjara juga melaksanakan sistem parol, perintah kehadiran wajib serta program program pembebasan berlesen.

Menurut Saifuddin, program dijalankan sebelum ini memberi hasil cemerlang dengan statistik menunjukkan daripada 800 yang dibebaskan hanya seorang dimasukkan semula ke penjara.

Pada 9 Okt tahun lalu, Saifuddin ketika memberitahu Dewan Rakyat berkata Jabatan Penjara merancang melaksanakan tahanan rumah dengan lebih 16,000 penghuni penjara layak dipertimbang. — DayakDaily