Jabatan Muzium memperkasa pemuliharaan penyu di Pulau Talang-Talang Besar

Sarawak Museum Department logo

KUCHING, 5 Julai: Jabatan Muzium Sarawak akan mengadakan majlis doa selamat di Pulau Talang-Talang Besar esok, yang merupakan sebahagian daripada penglibatan jabatan tersebut dalam projek pemuliharaan penyu.

Majlis yang dijadualkan bermula jam 9 pagi (Sabtu, 6 Julai) tersebut akan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

“Program ini bertujuan untuk memberi kesedaran pada komuniti tempatan dan antarabangsa mengenai keperluan memelihara dan melindungi habitat alam semulajadi penyu dan memulihara ekosistem marin di rantau ini supaya menjadi tarikan dalam industri pelancongan di negeri Sarawak,” kata jabatan tersebut dalam satu kenyataan media.


Demi merealisasikan visi dan misi tersebut, Jabatan Muzium bersama dengan Lembaga Pengurusan Penyu, Jabatan Hutan dan Sarawak Forestry Corporation ingin menambah dan meningkatkan kadar penetasan penyu hijau di seluruh negeri.

Majlis doa selamat ini adalah sebahagian daripada program yang telah dirancang dalam kalendar aktiviti jabatan, katanya.

Jabatan Muzium Sarawak merupakan agensi kerajaan yang berperanan dalam mentabirkan dan serta menyelia semua perkara yang berkaitan dengan sejarah, budaya, tradisi dan warisan negeri. — DayakDaily