IYRES giat laksanakan kajian indeks belia Sarawak

Institute For Youth Research Malaysia/ Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) logo

Oleh Dean Adam

KUCHING, Feb 3: Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) sedang melakukan kajian indeks belia Sarawak.

Unit Perhubungan Awam IYRES dalam satu kenyataan media memberitahu, kajian itu telah bermula pada Ogos 2018 dan dijangka selesai pada Mei tahun ini.


Kata IYRES, pelaksanaan kajian tersebut adalah untuk mengukur tahap kualiti dan kesejahteraan hidup belia di Sarawak.

“Kajian sehingga ke peringkat daerah itu melibatkan 12 domain iaitu pembangunan kendiri, hubungan sosial, identiti, potensi diri, kesihatan, pendidikan, ekonomi, keselamatan, sosialisasi politik, ketembusan media, waktu senggang serta tingkah laku devian.

“Pembentukan indeks ini akan memberi panduan kepada semua pemegang taruh termasuk pekerja belia untuk mengenal pasti bidang tumpuan yang memerlukan penambahbaikan bagi memastikan ia memberi impak yang positif terhadap kualiti dan kehidupan belia di Sarawak,” kata IYRES di sini hari ini.

IYRES menambah, di samping itu, mereka juga boleh merangka, merancang serta melaksana program-program yang bersesuaian berdasarkan dapatan daripada indeks belia Sarawak.

Ujar IYRES, mereka yakin melalui penghasilan indeks belia Sarawak itu, ia dapat dijadikan asas dalam perencanaan pelbagai program dan aktiviti pembangunan belia dengan lebih tepat dan komprehensif melibatkan pelaksanaan di peringkat negeri dan juga daerah di Sarawak.

Seramai 517 ‘enumerator’, 4 pegawai penyelaras negeri, dan 24 pegawai perhubungan bahagian terlibat dalam membantu melaksanakan proses pengumpulan data melalui pengedaran soal selidik kepada 13,870 responden belia Sarawak (15 tahun hingga 30 tahun) meliputi 12 bahagian dan 31 daerah di seluruh Sarawak.

IYRES merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS). — DayakDaily